PROTON Holdings Bhd yang mengukuhkan semula kehadirannya dalam industri automotif tempatan menerusi model pelbagai guna (MPV) Exora, bakal mengeluarkan satu lagi model sedan baru menjelang Julai atau Ogos tahun depan, dengan harga pengenalan sekitar RM80,000 seunit.
Model yang akan menggantikan Waja dan dikatakan mampu meningkatkan lagi penguasaan pasaran Proton dalam industri automotif tempatan dan antarabangsa itu, akan menampilkan salinan versi Mitsubishi Lancer 2.0 GT yang dipertingkatkan.
Menurut sumber terdekat, kemasukan kembali 'ciri Mitsubishi' dalam Proton itu hasil kerjasama pembangunan kejuruteraan terbaru antara Proton dan Mitsubishi Motors Corporation (MMC), yang juga bekas pemegang sahamnya.
"Model yang akan digunakan Proton bagi menggantikan Waja ini akan menampilkan beberapa perubahan kosmetik dalaman dan luaran berbanding model Lancer 2.0 GT sedia ada di pasaran.
"Antaranya, ia akan menggunakan enjin dengan kapasiti yang lebih kecil sedikit, iaitu 1.8 liter, komponen dalaman menggunakan produk keluaran vendor tempatan yang terpilih serta beberapa ciri lain yang dapat menjadikan model itu mampu menawarkan harga lebih berdaya saing.
"Justeru, model baru itu bukan saja dilihat berada di landasan terbaik untuk memberikan saingan terhadap kenderaan sedan keluaran syarikat automotif asing lain, bahkan ia turut mampu membantu memulihkan kembali imej Proton sebelum ini," katanya pada Berita Harian di Kuala Lumpur
Sumber itu menjelaskan, pengeluaran model baru dengan kuasa enjin 1.8 liter itu dilihat pemangkin terbaik untuk syarikat automotif nasional itu dalam memenuhi perubahan keperluan dan selera pembeli, khususnya generasi muda.
Katanya, Proton yang mendapat sokongan padu daripada MMC, dijangka tidak menghadapi sebarang masalah dalam memenuhi permintaan, memandangkan model gantian Waja itu akan dipasang di kilangnya sama ada di Shah Alam, Selangor atau di Tanjung Malim, Perak.
"Melihat kepada perjanjian antara Proton dan MMC, ia tidak menjadi masalah bagi Proton untuk memasang, menjual dan memberikan khidmat selepas jualan bagi Mitsubishi Lancer 2.0 GT versi Malaysia itu.
"Ini disebabkan MMC sudah memberikan 'lesen' kepada Proton untuk menggunakan bantuan teknikalnya, termasuk memasang dan memasarkan Lancer 2.0 GT yang akan menggunakan jenama Proton itu," katanya sambil menambah 'pelesenan' itu turut merangkumi bantuan dalam mengeluarkan komponen Lancer 2.0 GT tempatan serta sokongan dan perkhidmatan selepas jualan.
Ketika ini, model sedia ada Mitsubishi Lancer 2.0 GT yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dijual pada harga RM120,598.10 tanpa insurans di negara ini. Model itu diedarkan oleh Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd.
MMC adalah rakan teknikal dan pemegang saham Proton ketika ia ditubuhkan pada 1983 sehinggalah pengeluar kereta nasional itu mengeluarkan kereta pertamanya pada 1985.
Bagaimanapun, kemelut kewangan kumpulan daripada Jepun itu menyebabkan ia melupuskan kepentingannya dalam Proton pada awal 2004
Sumber:http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=116553
No comments:
Post a Comment
Nak Komen - Komen Lah Nak Spam pun Spam Lah :) but wait do you interested with
Auto Blogwalking Tools Get in now !!!